Friday, October 31, 2008

Sekitar Perlawanan Akhir Bola Sepak - Nova Phoenix dan Orange County






































NOVA TEWASKAN OC 2-0

Skuad Nova menamatkan kempen carnival sukan KMB 2008 dengan penuh bergaya setelah skuad bola sepak menyumbang emas ketiga setelah mencapai kemenangan 2-0 pada perlawanan di stadium KMB, rabu lalu.

Tampil sebagai pasukan kurang ternama, Nova bermula menarik dan akhirnya berhasil seawal minit ketiga setelah lorongan Pudin berjaya disambut kemas Syazwan sebelum melepaskan rembatan leret melepasi penjaga gol OC.

Tersentak dengan jaringan awal itu, jentera serangan OC mula mengatur langkah namun keampuhan benteng pertahanan Nova yang diketuai Syuq MPP tampak berjaya menghampakan segala percubaan mereka.

Nova kerap kali melakukan pertukaran menjelang waktu rehat untuk menyerap asakan bertali arus pasukan OC namun jaringan 1-0 kekal hingga babak pertama berakhir.

Babak kedua bermula dengan penuh rancak dengan kedua-dua pasukan saling membalas serangan. Nova hampir dikejutkan apabila sepakan percuma pemain OC, Ammar Roslizar hinggap di palang sebelum melantun dan diselamatkan pertahanan Nova.

Nova turut berpeluang menambah jaringan apabila bola tandukan penyerang utama Nova, Ijat hasil daripada sepakan sudut melambung tinggi walaupun dia tidak dikawal oleh pemain OC.

7 minit sebelum wisel penamat ditiup, ketua pasukan Ahmad Syahir berjaya menolak masuk ke penjuru kanan gawang OC untuk memberikan gol kedua kepada Nova. Nova kemudian mampu menjarakkan jurang gol kepada tiga gol namun sepakan penalty yang diambil oleh Tarmizi berjaya ditepis Mawi, penjaga gol OC. Sepakan penalti itu diberikan setelah Syahir dijatuhkan dalam kotak penalti.

Pemain-pemain Nova akhirnya berjaya bertahan hingga ke wisel penamat untuk mengesahkan kemenangan bergaya itu.
PERLAWANAN AKHIR MERIAH
Kedatangan penonton yang ramai gamitkan suasana

Kedatangan penonton kira-kira 100 orang ke perlawanan akhir rabu lalu sedikit sebanyak telah menceriakan suasana padang KMB.

“Kehadiran ramai penyokong Nova telah membantu menaikkan semangat pemain pasukan kita,” - Ikmal Y1

Pelajar wanita juga tidak mahu ketinggalan untuk menyaksikan perlawanan dan turut membanjiri pavilion pada petang itu.

Selain itu, persembahan muzik yang menghiburkan penonton pada waktu rehat juga merupakan salah satu daya tarikan penonton yang utama. Ditambah pula dengan sesi ulasan oleh Majin dan Bapak dari M07D telah mewarnai suasana pada petang itu yang dipenuhi warna oren dan merah di segenap ruang pavilion.

Turut hadir adalah pengarah KMB, Dr Syed Anwar Aly dan pengurus bola sepak KMB, Encik Wan Hafizi.

KAPTEN PUAS HATI PERSEMBAHAN ANAK BUAH

Ketua Nova Phoenix, Shahkang menegaskan betapa dia berpuas hati dengan persembahan skuad bola sepak Nova yang telah menunjukkan peningkatan mendadak sejak dari perlawanan pertama.

“Saya berharap pemain-pemain muda (Year 1) kita akan dipilih mewakili kolej. Ramai antara mereka yang mampu mengharumkan nama kolej,” katanya lagi

Pemain-pemain Nova yang lain juga tidak mampu menyembunyikan rasa gembira mereka setelah berjaya membawa pulang emas untuk Nova.

(nama pemain tidak mampu disiarkan kerana ramai dan kadang-kadang. Terima kasih diucapkan kepada semua pemain dan penyokong setia)

Tuesday, October 28, 2008

Hari Kedua Terakhir

Hari kedua terakhir ditumpukan kepada acara yang baru dipertandingkan iaitu futsal wanita sementara badminton menamatkan saingan menerusi perlawanan akhir antara Sub Zero dan Nova Phoenix.

Futsal Wanita

Skuad yang rata-ratanya diwakili pemain year 1 ini tampak tidak mempunyai pemain-pemain handalan seperti dipunyai Sub Zero namun semangat kental mereka langsung tidak tercalar walaupun sekelumit. Berikut merupakan

Menentang OC: Tewas 0-1
Menentang DK: Menang 1-0 (Wani)
Menentang SZ: Tewas 0-1

Pujian harus diberikan kepada penjaga gol Nova dan barisan pertahanan kerana mampu mengekang asakan bertali arus Sub Zero yang diketuai Raja Arina. Mereka juga berjaya menyerap asakan psikologi penonton lawan yang membanjiri gelanggang futsal ketika itu.

“Walaupun kita tewas namun permainan yang menarik berjaya memadamkan kekecewaan ekoran kekalahan itu” - Wahidah Y2

Namun apa yang mengecewakan, mereka terpaka bermain dua perlawanan secara berterusan dan tidak mempunyai rehat yang mencukupi.

“Mungkin kerana itu tewas. Keletihan sudah tidak dapat dibendung lagi” - entah siapa


Badminton

Walaupun tewas 2-0 kepada Sub Zero namun tidak beerti pasukan kita bermain buruk

“Saya ucapkan tahniah kepada Saiful Y1, Anip, Pear, Dalila dan Saida serta beberapa pemain simpanan lain atas persembahan menarik mereka sepanjang carnival,” - seorang peminat nova

Mat Pear tewas kepada saudara Meno manakala Saida dan Dalila tumpas tipis kepada pasangan dari Sub Zero—Fatin dan Wana

Tiada apa yang perlu dimalukan, kita sudah bermain baik sebenarnya—kapten

Bola Tampar


Sambungan daripada perlawanan tempoh hari, Nova bermula garang dengan menang pada set pertama. Namun tewas pada set kedua dan ketiga untuk memberi laluan kepada DK muncul juara.

Friday, October 24, 2008

Kejohanan Futsal

FUTSAL LELAKI: KITA DI TEMPAT KETIGA

Sedikit kekecohan melanda skuad Nova setelah kekurangan pemain akibat ramai yang pulang dan mungkin mereka tidak membaca notis yang telah dilekatkan. Alhamdulilah, akhirnya masalah selesai.

Barisan pemain
Gary, Shahkang, Zayd, Tarmizi, Firdaus, ibnu dan Zaid MPP

Perlawanan pertama: Menang (lawan OC) - 2-1 (gol dijaringkan Shah dan Zayd)
Perlawana kedua: Tewas (lawan Sub) - 1-0
Perlawanan ketiga: Seri (lawan Dark Knight) - 2-2 (gol dijaringkan Zayd dan Gary)

Khamis - 23hb Oktober 2008

DUA EMAS DIRAIH PENUH GEMILANG
Hoki dan Bola Jaring berada di puncak pencapaian, bola sepak mara ke final

Walaupun bola tamper lelaki dan wanita serta bola keranjang menemui kehampaan pada hari ini namun kejayaan diraih penuh girang menerusi hoki dan bola jaring. Sepak takraw pula hanya mampu berpuas hati di tempat kedua setelah asakan Dark Knight sukar digugat.

Hoki
Ibarat membalas dendam kepada kekalahan sepak takraw kepada DK, pemain Nova terpaksa bekerja keras sebelum Pali menolak masuk gol kemenangan pada separuh masa pertama. Walaupun pasukan DK mengasak kubu Nova namun pemain-pemain Nova berjaya menyerap serangan itu dan mengekalkan jaringan 1-0 hingga wisel penamat ditiup.


Muzal dikawal rapi Majin yang juga merupakan kapten rumah Dark Knight


Pemain Nova kelihatan berpuas hati dengan kemenangan.


Bola Tampar (Lelaki dan Perempuan) dan Tenis
Setelah kalah pada dua perlawanan pertama namun tidak mematahkan semangat pemain untuk meneruskan perjuangan. Namun mereka tewas kepada DK

“Semangat mereka sangat dikagumi dan itu lebih membanggakan sebenarnya,” - Feha Y2

Bola Sepak

Menyambung semula perlawanan semalam dengan keputusan 1-1. Pemain Nova tampak tidak mempunyai masalah untuk menang 4-1 ke atas OC dalam perlawanan liga terakhir.. Kemenangan ini juga telah membawa pasukan Nova ke akhir pada rabu depan berdepan OC.
Penjaring: Pudin (2), Syahir, Ijat

“Mereka (OC) masih belum mempamerkan aksi sebenar, kita perlu berhati-hati” kata Syahir sebagai kapten pasukan

“Walaupun kita kebanyakkan dibarisi bukan daripada wakil kolej tapi saya yakin kita mampu memberikan persembahan menarik kelak” - Firdaus Y1



Selepas permainan - Dari kiri - Wan, Pudin, Firdaus,Hafiz, Syuq dan Zayd


Post-mortem

Sepak Takraw



Gandingan Farid (dua orang Farid), Pear dan Pudin nampaknya kurang menjadi dan memberi laluan kepada pasukan DK yang diketuai oleh Pokcik untuk menjadi juara. Kecederaan Pudin pada set kedua juga sedikit menganggu konsentrasi pemain.

Basketball

Kekalahan kepada DK memaksa untuk pemain melupakan hasrat untuk ke final. Namun skuad bola keranjang sepatutnya berbangga dengan semangat mereka dan dilabelkan oleh kapten
Nova Phoenix sebagai pasukan paling teratur. Tahniah kepada Khalil Khairi kerana berjaya menguruskan pasukan dengan baik. Semangat pemain lain—Hafiz, Wanchong, Daus, Shahir dll amat dihargai.

Bola Jaring

Pertemuan buku dan ruas antara Nova Phoenix dan OC akhirnya menyebelahi Nova dengan kemenangan 8-6. Walaupun ketinggalan 4-3 pada hari pertama (sebelum ditunda kerana hujan) namun semangat Nova nyata tidak mudah luntur.

“Alhamdulilah, kami berjaya juga akhirnya walaupun mereka dibarisi pemain ternama” - gadis Nova yang namanya kurang terkenal

Thursday, October 23, 2008

Rabu - 22 Oktober 2008

Tirai acara badminton dan pingpong dilabuh dengan penuh kegirangan bagi skuad Nova Phoenix setelah masing-masing menundukkan pasukan lawan yang terdiri daripada pemain dari Orange Country (OC)

Jurucakap pasukan Nova berkata badminton dan pingpong masing-masing memperolehi 2 kemenangan 1 kalah sepanjang carnival sukan pada tahun ini. Namun beliau enggan mengulas lanjut mengenai kedudukan Nova dalam acara berkenaan yang masih belum diputuskan pihak penganjur

Badminton yang diketuai Hanif tampak terpaksa berkerja keras untuk memperoleh kemenangan 2-1.

Pemain:
Tarmizi (y1) , Saiful (y1), Dalila (y2), Saida (y2) dan Hanif (y2)

Pingpong mula menang mudah 2-0 dengan sekembalinya pemain terkenal, Mus (y2) dari kancah kecederaan untuk membantu pasukan Nova Phoenix mendapatkan kemenangan. Set kedua pula menyaksikan pemain year 1 yang lain mudah membawa Nova Phoenix untuk menuju kemenangan.

Bola Sepak

Hasrat Nova Phoenix untuk terus mengasak kubu OC terbantut setelah penganjur menangguh perlawanan hingga esok setelah suasana gelap yang melanda padang KMB kerana hari sudah malam.

Gol Nova Phoenix dijaringkan oleh ketua pasukan Syahir menerusi sepakan penalti setelah dia dijatuhkan oleh pertahanan pasukan OC. Beberapa minit kemudian pasukan Oc menyamakan kedudukan setelah berlaku kekeliruan mengenai tiupan wisel yang disalahertikan oleh pertahanan pasukan Nova Phoenix.

“Tiupan wisel menyebabkan kami berhenti namun tiba-tiba gol OC disahkan pengadil,” Daus—penjaga gol dengan rasa kecewa

Perlawanan akan disambung semula pada Khamis, 23 Oktober 2008.

Bola Jaring

Pasukan bola jaring mengesahkan tempat ke perlawanan akhir meskipun masih berbaki satu perlawanan.
Mereka akan bertemu OC untuk perlawanan akhir Jumaat ini dan dijangkan persaingan sengit bakal berlaku.

“Kami berharap penyokong hadir untuk memeriahkan suasana,” kata salah seorang pemain dengan nada yang merayu